Sarawak catat 13 kematian akibat rabies

KUCHING, 6 Dis – Kurang kefahaman orang awam mengenai langkah-langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan rabies perlu dipertingkatkan, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini. Beliau berkata, antara langkah pencegahan yang perlu diketahui umum dan segera dilakukan adalah segera mencuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan terbabit.

Selepas itu, mangsa perlu mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar. Keutamaan adalah untuk menyelamat nyawa manusia dan usaha akan diteruskan untuk mengalihkan anjing liar dari jalanan serta mengadakan kempen kesedaran, selain meneruskan vaksinasi ke atas anjing.

“Pastikan anjing peliharaan anda telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar,” katanya kepada pemberita di sini selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini. Uggah turut mengesahkan seorang lelaki berumur 21 tahun dari Kuching, Sarawak telah meninggal dunia dan mangsa ke-13 meninggal pada pagi 4 Disember baru-baru ini di Hospital Umum Sarawak.

“Kematian kes rabies baharu ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 13 daripada 14 kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017, dan saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.

Manakala, satu (1) kes lagi masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 4 Disember lepas, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies dalam kalangan haiwan dan hanya Limbang sahaja kawasan yang masih bebas rabies.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengesahkan kematian terbaharu itu menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi lain serta negara jiran seperti Indonesia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. – Bernama