KUCHING, 19 Jun – Sarawak mencatatkan penurunan kadar jenayah sebanyak 13 peratus bagi tempoh Januari lalu hingga kini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata ia melibatkan pengurangan 350 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.
“Jenayah kecurian harta benda masih merupakan penyumbang utama kepada indeks jenayah di negeri ini walaupun ia menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel di Pusat Latihan Polis Kuching, Jalan Puncak Borneo dekat sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim.
Sementara itu, Mohd Dzuraidi berkata pada majlis hari ini seramai 260 anak Sarawak menamatkan latihan asas kepolisan konstabel melibatkan 200 lelaki dan 60 wanita.
Kesemua mereka akan ditempatkan di pelbagai cawangan dan unit di seluruh negara selepas ini, katanya. – Bernama