Sarawak giatkan usaha tarik pelabur Jerman

COLOGNE, 13 OKT – Delegasi Sarawak telah menghadiri Pameran Makanan ANUGA 2019 di sini baru-baru ini dan melawat beberapa syarikat Jerman.

Kehadiran delegasi diketuai Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu bertujuan menyokong syarikat Sarawak yang mempamerkan pelbagai produk pertanian dan makanan diproses di pameran selama lima hari tersebut.

Sebanyak 50 pempamer Malaysia mengambil bahagian, dengan 34 daripadanya mengetengahkan produk mereka di Pavilion Malaysia yang disediakan pejabat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Frankfurt, manakala 17 lagi pempamer mempunyai ruang mereka sendiri.

Awang Tengah berkata delegasi itu giat berusaha menarik pelabur Jerman, sambil mempromosikan eksport Sarawak. “Di pameran ANUGA, pempamer kami mengetengahkan kopi, kek istimewa Sarawak, makanan dan minuman, makanan dalam tin, sos, dan sebagainya. Syarikat Sarawak itu terdiri daripada PKS yang mempamerkan produk mereka kepada pembeli antarabangsa,” katanya kepada Bernama di luar Pameran Makanan ANUGA. – Bernama