KUCHING, 9 OKT – Sarawak akan mempunyai kilang pembuatan bateri untuk kenderaan elektrik, hibrid dan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang pertama yang akan memenuhi keperluan kedua-dua pasaran tempatan dan luar negara.
Cadangan kilang bernilai RM500 juta itu akan didirikan di Demak Laut di sini, ia adalah sebahagian daripada kerjasama antara Amalgamated Batteries Manufacturing (Sarawak) Sdn Bhd (ABM) dan Jujiang Power Technology Co Ltd dari China.
Timbalan Pengarah Urusan ABM, Datuk Alan Tay Tze Poh berkata terdapat pasaran yang besar untuk bateri itu daripada pembuat kereta tempatan dan luar negara.
“Kilang yang dicadangkan itu masih di peringkat awal, namun akan terdapat banyak perbincangan antara kami untuk memuktamadkan perinciannya,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara dua syarikat itu di sini hari ini. Pengerusi ABM Datuk Seri Tay Chin Kin dan rakan sejawatannya daripada Jujiang, Wang Dong menandatangani MoU itu, disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
ABM, yang ditubuhkan pada 1971, merupakan pengilang bateri automotif untuk pasaran tempatan dan eksport, merangkumi negara ASEAN, Taiwan, Australia, Timur Tengah dan negara Afrika. – Bernama
