Sarawak kaji hak ada wakil dalam LHDN

KUCHING, 21 DIS – Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk menuntut hak negeri mempunyai wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mendapatkan angka tepat hasil negara, kata Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang ditubuhkan untuk menyelesaikan butiran akhir Perjanjian Malaysia 1963 telah menyatakan dalam perenggan 24 laporannya bahawa Sarawak dan Sabah mesti diwakili dalam LHDN.

“Bila dah tahu pendapatan seluruh negara, barulah (negeri) boleh meminta jumlah yang munasabah sebagai geran di bawah Perkara 112(d) (Perlembagaan Persekutuan). Kalau kita tahu dari Sarawak berapa hasilnya, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada hasil mesti dikembalikan kepada negeri,” katanya.

Abang Johari yang mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi pilihan raya negeri ke-12 baru-baru ini, berkata demikian pada majlis meraikan hari pertama beliau melapor diri di pejabatnya  selepas mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Menurutnya, perwakilan LHDN akan dibincangkan secara terperinci dengan anggota kabinetnya, tetapi apabila ditanya pemberita bila beliau akan mengumumkan barisan kabinet, beliau menjawab: “Krismas dolok (Kita sambut Krismas dahulu).” – Bernama