Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak kaji kaedah terbaik bantu warga tua hadapi kos hidup

    KUCHING, 6 OKT – Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kaedah terbaik membantu warga tua memandangkan tahap kesihatan manusia kini telah meningkat jika dibandingkan dengan beberapa dekad lepas.

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Malaysia kini menuju ke arah negara tua, oleh itu, satu kaedah seperti insurans untuk golongan itu perlu diperkenalkan kerana kos kehidupan juga bakal meningkat.

    “Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-Kanak (KPWKK) perlu memikirkan bagaimana kita (kerajaan) hendak menghadapi keadaan sedemikian…supaya kita sentiasa ada dana untuk menghadapi kos sara hidup bagi warga tua.

    “Di peringkat negeri sudah ada perbincangan…seperti di negara maju lain walaupun hidup kita panjang tetapi mereka (warga tua) akan sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya semasa berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Ke-10 KPWKK di sini, hari ini.

    Jelas Abang Johari, dengan adanya kaedah yang terbaik, kerajaan boleh membantu warga tua di negeri ini melalui bantuan kewangan kerana pada usia 70 tahun sudah pasti tidak mampu bekerja selain kehabisan wang persaraan.

    “Kita harus menghadapi realiti ini dan perlu ada instrumen tertentu untuk memberi bantuan termasuk kewangan kepada penduduk yang menua…kerajaan perlu buat persediaan untuk keadaan yang akan berubah selepas 2030 hingga 2050, selagi anda mempunyai dasar, dasar ini akan ditambah baik kerana ia seiring,” katanya.

    Mengikut statistik perangkaan di Sarawak, dalam masa 10 tahun akan datang, jumlah warga tua yang berusia 60 tahun ke atas akan bertambah antara 15 hingga 20 peratus.

    Berdasarkan kepada definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sekiranya penduduk yang berumur 65 tahun ke atas di sesebuah negara mencapai 15 peratus daripada keseluruhan penduduk, maka sesebuah negara berkenaan akan digelar sebagai negara tua. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda