Sarawak kaji wujudkan sekolah agama antarabangsa

KUCHING, 30 OKT – Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk mewujudkan sebuah sekolah agama antarabangsa yang akan mengguna pakai kaedah seperti digunakan oleh institusi pengajian Islam swasta di Singapura, Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau sudah mengarahkan Majlis Islam Sarawak (MIS) untuk melakukan kajian pelaksanaan sekolah berkenaan.

“Madrasah Aljunied Al-Islamiah mempunyai dua silibus iaitu pengajian Islam dan satu lagi pengajian antarabangsa,  yang kemudiannya pelajar mereka akan dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka di dunia.

“Saya telah mengarahkan MIS, Jabatan Agama Islam Sarawak untuk berunding dengan Madrasah Aljunied Al-Islamiah supaya Sarawak juga mempunyai sekolah antarabangsa yang memfokuskan sudut agama dan duniawi,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek pembinaan bangunan pentadbiran baharu dan naik taraf bangunan akademik Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang di sini. – Bernama