Sarawak labur dalam tiga universiti untuk lahir tenaga kerja

SIBU, 21 NOV – Sarawak adalah satu-satunya negeri yang melabur dalam tiga universiti swasta bagi melahirkan ramai tenaga kerja mahir dan berbakat untuk menampung keperluan sektor perindustrian di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata tiga universiti terlibat ialah Swinburne University di bandar raya Kuching, Curtin University di bandar raya Miri dan University Of Technology Sarawak (UTS) di bandar Sibu.

“Ini kerana kita tahu kepentingan pendidikan di peringkat universiti dan kita mahu setiap rakyat Sarawak diberi peluang belajar hingga peringkat universiti sama ada tempatan atau luar negara,” katanya.

Awang Tengah berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk membangunkan modal insan supaya Sarawak sentiasa mempunyai kumpulan tenaga kerja berbakat dan mahir bagi menampung keperluan perindustrian yang pesat berkembang di Sarawak.

Beliau berucap pada majlis pelancaran buku Sarawak Maritime Industries: A Catalyst for Economic Growth – The Book of Sarawak 2021 diterbitkan secara kerjasama antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak dengan Persatuan Industri-industri Maritim Sarawak (SAMIN) di sini malam tadi. – Bernama