Sarawak lancar jurnal antarabangsa

KUCHING, 10 OGOS – Jurnal antarabangsa pertama mengenai pelancongan dan hospitaliti yang akan diterbitkan di Sarawak, Journal of Responsible Tourism Management (JRTM), dilancarkan di sini, hari ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang melancarkan jurnal itu, berkata isu pertama JRTM akan diterbitkan pada Januari 2021 secara elektronik dan cetak.

“Sebagai jurnal antarabangsa, JRTM akan mendapat perhatian audiens antarabangsa. Pada masa yang sama, ia akan mempromosikan Sarawak dan memberi maklumat kepada pembaca tentang bagaimana kami dapat merealisasikan pelancongan bertanggungjawab dalam konteks tempatan,” katanya.

Katanya jurnal itu akan berperanan sebagai wadah untuk menghimpunkan kepakaran ahli akademik pelancongan dan hospitaliti, pengamal, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk memberikan pandangan holistik, dapatan penting dan unjuran praktikal mengenai pelancongan bertanggungjawab.

“Walaupun sekatan perjalanan dan pergerakan dilaksanakan semasa pandemik ini (COVID-19) , penerbitan jurnal ini akan meletakkan kembali Sarawak di peta dunia dan akan menambah baik imej destinasi kami dalam minda pembaca walau di mana mereka berada,” katanya.

Abdul Karim berkata Universiti UCSI berjaya mendapatkan pakar dari seluruh dunia, terdiri mereka daripada ASEAN, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Pakistan, India, Eropah dan Australia sebagai ahli lembaga penasihat dan pengarang jurnal itu.

Beliau berkata jurnal itu berobjektif untuk mengembangkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan penting berkaitan pelancongan dan hospitaliti bertanggungjawab berdasarkan isu semasa di Sarawak dan destinasi membangun lain di seluruh dunia. – Bernama