Sarawak lancar strategi pembangunan PascaCOVID 2030

KUCHING, 22 JULAI – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini melancarkan Strategi Pembangunan PascaCOVID-19 2030 (PCDS 2030), satu inisiatif bagi Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 dan memberikan pendapatan tinggi kepada rakyat.

“Saya yakin kita boleh capai objektifnya berdasarkan kepada pencapaian kita sepanjang tempoh empat tahun lepas dalam pembangunan infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya,” kata beliau pada sidang akhbar selepas pelancaran PCDS 2030 di sini hari ini.

Beliau berkata fasa pertama PCDS 2030 akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (2021-2025) (RMK-12) dengan sasaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi purata antara enam hingga lapan peratus setahun dari tahun ini hingga 2030.

Menurutnya, kerajaan Sarawak memperuntukkan kira-kira RM63 bilion untuk melaksanakan PCDS 2030 di bawah RMK-12 dengan RM30 bilion daripada perbelanjaan pembangunan langsung manakala RM33 bilion lagi daripada pembiayaan alternatif. – Bernama