Sarawak: Larangan rentas Zon 1, 2 tengah malam ini

KUCHING, 31 JULAI – Polis Sarawak akan melaksanakan larangan pergerakan antara Zon 1 dan Zon 2 bermula 1 hingga 14 Ogos ini berikutan peningkatan penularan wabak COVID-19 di beberapa daerah di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata penguatkuasaan tersebut adalah mengikut ketetapan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Menurutnya, pihaknya akan mengadakan sekatan jalan raya di Simunjan dan Sri Aman mulai tengah malam ini. Zon 1 berstatus merah dan kuning manakala Zon 2 berstatus hijau.

“Pada masa ini, Zon 1 adalah Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian dan pergerakan antara daerah dalam bahagian ini yang meliputi daerah Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Simunjan, Serian, Bau dan Lundu dibenarkan tanpa memerlukan surat kebenaran polis.

“Manakala pergerakan dari Simunjan ke Sri Aman melalui feri Triso atau melalui Jalan Serian-Sri Aman tidak dibenarkan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pengecualian diberikan kepada mereka yang menjalankan tugasan rasmi dan pekerja perkhidmatan penting.

Beliau berkata mereka perlu mendapatkan surat kebenaran polis dengan menunjukkan surat pengesahan dari ketua jabatan dan syarikat atau majikan masing-masing.

Menurutnya, pergerakan atas tujuan kematian ahli keluarga, sakit tenat atau perlu menghadiri pemeriksaan kesihatan, perlu mendapatkan surat kebenaran polis yang boleh dimohon di balai polis berhampiran.

Mengenai pergerakan melalui udara, penumpang dinasihatkan mendapat surat kebenaran polis sebelum menempah tiket penerbangan. – Bernama