Thursday, August 11, 2022
22.8 C
Brunei

Sarawak lihat pelbagai pendekatan tangani isu inflasi, jaminan makanan

-

KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Kerajaan Sarawak mencuba sedaya upaya untuk melihat pelbagai pendekatan yang boleh diguna pakai sebagai penyelesaian jangka panjang bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari berkata pendekatan sedemikian sangat diperlukan kerana negara sedang berhadapan inflasi yang menjejaskan setiap kehidupan rakyat Malaysia berikutan kebergantungan yang tinggi terhadap import barangan.

“Jadi, kita perlu menangani isu (inflasi) ini untuk jangka panjang dan sebab itu kerajaan Sarawak antara lain akan mewujudkan taman agro di pelbagai kawasan dalam wilayah Bintulu dan Kuching.

“Taman agro ini dikhususkan untuk mentransformasikan sektor pertanian supaya ia boleh menjadi sektor yang berorientasikan eksport bukan hanya untuk penggunaan tempatan. Saya percaya Sarawak mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana tidak mempunyai masalah dengan isu tanah, hanya perlu diuruskan dengan baik,” katanya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper di Lalaport Bukit Bintang City Centre di sini, yang diadakan serentak dengan prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022.

Sementara itu, pada sidang media Abang Johari memberitahu Sarawak kini turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan. 

Katanya, melalui dasar yang sedang dilaksanakan, Sarawak juga mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Benda (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan. – Bernama

Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyampaikan ucapan semasa majlis pelancaran Kenyalang Biris Rice dan Carus White Pepper, prapelancaran Agrofest Sarawak 2022 dan Nyamai Sarawak Gastronomy Festival 2022, kelmarin. – Bernama
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Virus Langya jangkiti 35 individu di China

BEIJING, 10 OGOS – Saintis-saintis telah mengesan virus baharu yang dikatakan berasal dari haiwan di timur China yang telah menjangkiti puluhan orang, lapor BBC...
- Advertisment -