KUCHING, 2 DIS – Sarawak berhasrat melihat lebih banyak laluan baharu dan peningkatan kekerapan penerbangan terus dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Johor dan Kota Kinabalu berikutan sekatan perjalanan di negeri itu dilonggarkan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kelonggaran beberapa sekatan yang dikenakan akibat pandemik COVID-19 menyebabkan Sarawak memberi tumpuan kepada pelancongan domestik menerusi usaha Lembaga Pelancongan Sarawak memperkenalkan pakej pelancongan ‘Sia Sitok’.
“Sambutan yang diterima amat menggalakkan dan semestinya ia membantu industri semasa waktu mencabar ini, (dan) membuatkan pengunjung tempatan lebih mengetahui mengenai negeri kita sendiri. Ini membuktikan bahawa banyak potensi untuk pelancongan domestik,” katanya.
Bercakap pada majlis menyambut ketibaan penerbangan sulung Malaysia Airlines dari Pulau Pinang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini, beliau berharap syarikat penerbangan itu akan bekerjasama dengan Sarawak dalam meningkatkan penerbangan terus ke negeri itu.
“Kesalinghubungan sentiasa menjadi cabaran (di Sarawak), justeru laluan terus ke Sarawak dari Pulau Pinang sangat dialu-alukan. Kesalinghubungan dan kebolehcapaian menjana mobiliti lebih besar yang akan memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua destinasi,” katanya. – Bernama
