KUCHING, 14 MEI – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu meletakkan Sarawak sebagai ibu kota legasi pertama bagi acara perniagaan di Malaysia dan Borneo.
Beliau berkata ini susulan langkah Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Nusantara, Kalimantan yang akan memacu pembangunan baharu di Borneo.
“Kita tidak boleh lagi membataskan pemikiran kita semata-mata kepada Sarawak sahaja.
Kita mesti mengamalkan perspektif lebih luas yang menggabungkan peluang yang ada di Borneo.
“Ibu negara baharu Indonesia, Nusantara telah membangun dan apabila selesai, industri acara perniagaan kita sewajarnya bersedia untuk merebut peluang ini,” katanya ketika melancarkan Anugerah Anak Sarawak ke-10 2023 di sini kelmarin.
Menurutnya, acara perniagaan akan menjadi penyumbang kukuh kepada pembangunan sosial dan keluaran dalam negara kasar Sarawak. – Bernama
