Sarawak masih tanggung kos kuarantin rakyat

KUCHING, 21 JULAI – Kerajaan Negeri Sarawak masih menanggung kos kuarantin COVID-19 bagi rakyatnya yang pulang dari luar negara ke negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri I Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata bagaimana pun, kaedah tersebut tidak terpakai bagi pekerja asing yang kembali bertugas di Sarawak.

“Bagi pekerja asing, kos di pusat kuarantin yang telah ditetapkan selama 14 hari sebaik tiba di Sarawak dari luar negara perlu dibayar oleh majikan masing-masing,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri Lama di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini mengumumkan bahawa warganegara yang pulang dari luar negara perlu menanggung sendiri kos kuarantin. Sementara itu, JPBN dalam mesyuaratnya pagi ini memutuskan pemilik premis perniagaan di Sarawak berhak untuk tidak membenarkan pelanggan mereka berurusan di premis mereka jika didapati tidak memakai penutup mulut dan hidung.

“Orang ramai dinasihati agar sentiasa memakainya sekiranya berada di tempat awam, pusat beli-belah, pasar, kedai makan dan kedai runcit,” kata Uggah. – Bernama