Sarawak mengundi 18 Dis, penamaan calon 6 Dis

KUCHING, 24 NOV – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Disember sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini turut mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 6 Disember manakala pengundian awal pada 14 Disember.

Pengumuman itu dibuat beliau pada sidang media selepas mempengeru-sikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

SPR tidak dapat mengadakan PRN Sarawak selepas tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir pada 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara ketika itu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan darurat di seluruh negara pada 11 Januari sehingga 1 Ogos, bagi mengekang penularan COVID-19.

Bendera Gabungan Parti Sarawak (GPS) mula dipasang pada perahu tambang ketika menyusuri sungai berhampiran bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam. – Bernama

Apabila darurat di seluruh negara berakhir pada 1 Ogos, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022. Darurat ini ditarik balik pada 3 November, sekali gus membolehkan SPR mengadakan pilihan raya Sarawak.

Susulan penamatan darurat itu, DUN Sarawak turut terbubar pada 3 November, memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak yang mempunyai 82 kerusi DUN.

Sementara itu, Abdul Ghani meneru-si satu kenyataan yang diedarkan semasa majlis pengumuman itu memaklumkan 1,252,014 orang pengundi di Sarawak layak mengundi dalam PRN ini dan mereka terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Beliau berkata seramai 46,565 orang petugas SPR akan dilantik bagi mengendalikan proses PRN itu.

Sebanyak 1,866 buah pusat me-ngundi biasa yang mengandungi 3,555 tempat mengundi/saluran dan 85 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 111 tempat mengundi/saluran awal akan digunakan. 

“Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 buah dengan 3,666 tempat mengundi/saluran. PRU DUN Sarawak Ke-12 ini dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya. – Bernama