KUCHING, 18 MAC – Sarawak bersedia untuk mengecapi kemajuan lebih besar kerana ia memiliki persekitaran sosial merentasi kaum dan jantina yang boleh memacu pembangunan negeri itu, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata senario ini selari dengan ramalan pakar bahawa teknologi dan ilmu akan menjadi asas kepada kemajuan pada masa hadapan dan kerajaan negeri telah menetapkan dasar sedemikian bagi memenuhi keperluan masa depan.
“Kami menggubal dasar yang inklusif. Kita lihat masa depan bukan lagi berdasarkan jantina, bukan lagi berdasarkan kaum, tetapi masa depan bergantung kepada kemampuan individu itu sendiri,” tambahnya.
“Hari ini dan masa depan dunia bergantung kepada teknologi. Kami di Sarawak menggunakan Strategi Pembangunan pascaCOVID-19 yang akan menumpukan kepada pengetahuan, bermakna pendidikan adalah kuncinya,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Wanita Dayak di sini hari ini.
Menurutnya, selain dikurniakan sumber tenaga yang melimpah ruah yang turut menyemarakkan pembangunan masa depan, Kerajaan Negeri terus menyediakan infrastruktur asas di kawasan penempatan luar bandar khususnya bekalan elektrik bagi memastikan pembangunan itu dapat dinikmati di seluruh negeri.
“Apabila anda ingin mengubah orang, keperluan asas mesti ada, walaupun ia sangat mahal. Pengalaman saya sendiri apabila anda mengamanahkan saya sebagai ketua eksekutif anda, tanggungjawab adalah untuk mendapatkan wang bagi membekalkan elektrik ke kawasan luar bandar negeri kita,” katanya sambil menambah bahawa Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 bilion untuk bekalan elektrik luar bandar sejak 2017. – Bernama