Sarawak mula beri dos ketiga, penggalak

KUCHING, 13 OKT – Sarawak memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 untuk rakyatnya hari ini.

Timbalan Pengarah Kesihatan Sarawak (Kesihatan Awam) Dr Rosemawati Ariffin dalam kenyataan hari ini berkata pemberian vaksin tersebut akan memberi perlindungan tambahan kepada golongan berisiko tinggi.

Jelasnya, pemberian dos ketiga bakal melibatkan golongan ‘immunocompromise’ atau mereka mempunyai sistem ketahanan badan lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan melibatkan 11,900 individu.

“Pemberian dos penggalak pula akan diberikan kepada warga emas berusia lebih 60 tahun melibatkan 80,300 individu dan petugas barisan hadapan perubatan sebanyak 30,340 individu,” katanya. 

Beliau berkata pemberian dos ketiga dan dos penggalak itu boleh didapati di klinik-klinik kesihatan kerajaan terpilih, hospital swasta dan klinik swasta. – Bernama