Sarawak mula beri dos penggalak Oktober ini

KUCHING, 26 SEPT – Sarawak akan memulakan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 pada bulan Oktober ini sekali gus menjadi negeri pertama yang memulakan inisiatif berkenaan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyediakan garis panduan klinikal mengenai pelaksanaan pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 itu, dan ia akan memberi fokus kepada golongan berisiko tinggi berusia 60 tahun ke atas, serta mereka yang mempunyai komorbid serius.

Menurutnya Sarawak akan menjadi negeri pertama memulakan program pemberian dos penggalak vaksin itu kerana ia merupakan negeri terawal menyelesaikan program vaksinasi.

“Antara yang akan kita sediakan dalam garis panduan klinikal itu nanti adalah berkenaan jenis vaksin yang akan diberikan. Kita masih menilai sama ada mahu beri jenis vaksin sama atau yang berbeza,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat khas Imunisasi dan pengurusan pandemik bersama wakil kerajaan negeri di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Khairy berkata di Sarawak, KKM berpendapat bahawa keputusan positif daripada kit ujian RTK Antigen, sama ada dibuat di makmal ataupun secara kendiri, adalah cukup untuk mereka yang dikesan positif diasingkan serta diberikan Perintah Pemantauan di Rumah.

“Ini sangat penting untuk kita maklum kepada rakyat terutamanya di Sarawak, apabila ada apa-apa gejala, secepat mungkin laksanakan ujian RTK Antigen dan jika positif, asingkan diri di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya. – Bernama

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (dua,kiri) meluangkan masa melawat Hospital Medan MERCY di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam. – Bernama