Sarawak perkukuh infrastruktur logistik

KUCHING, 11 NOV – Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh infrastruktur logistiknya seiring dengan pembangunan ekonomi digital global, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata ini penting kerana pembangunan ekonomi digital, terutama e-dagang memerlukan sistem logistik yang cekap bagi tujuan penghantaran barangan atau produk.

Abang Johari menjelaskan infrastruktur logistik terbaik adalah yang mampu menghubungkan terus ke hab antarabangsa sama ada ke Singapura, Hong Kong atau Amerika Syarikat (AS). “Jika seseorang di AS mahu membeli produk tempatan kita, sistem penghantaran mesti sudah ada, dalam erti kata lain perniagaan kargo perlu menepati masa untuk memastikan barangan yang dipesan dapat dihantar tepat pada waktunya.

“Kerajaan Sarawak memandang serius infrastruktur penghantaran ini terutama di kawasan luar bandar dan apabila infrastruktur dapat sampai ke kawasan luar bandar bermakna kita telah capai (kejayaan),” katanya. – Bernama