Sarawak perlu pusat serenti di bahagian utara – AADK

KUCHING, 3 FEB – Sarawak memerlukan pembinaan Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) atau Pusat Serenti di bahagian utara negeri itu bagi menampung keperluan, kata Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata, penambahan pusat di kawasan itu penting bagi memudahkan individu yang memerlukan pemulihan mendapatkan rawatan dan tidak perlu pergi jauh sehingga ke Kuching, yang menempatkan satu-satunya pusat pemulihan di Sarawak ketika ini.

“Kita telah mula berbincang dengan kerajaan negeri mengenai cadangan itu, tetapi belum mendapat keputusan muktamad berhubung tapak sesuai sama ada di Bintulu atau Miri,  katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek CCRC dan Klinik Cure and Care (C&C) di Jalan Puncak Borneo, kira-kira 20km dari sini, hari ini.

Pembinaan CCRC dan C&C Puncak Borneo yang bernilai RM25.8 juta itu dijangka siap April ini dan mampu menampung 250 penghuni pada satu-satu masa.

Sementara menunggu keputusan perbincangan dengan kerajaan negeri, AADK akan menaik taraf lima klinik C&C sedia ada di negeri ini yang tiga daripadanya terletak di Kuching iaitu di Kampung Tabuan Melayu, Matang serta Kampung Haji Baki, dua di Kota Samarahan iaitu Kampung Tanjung Bundong dan Kampung Baru serta dua di Miri iaitu Bekenu dan Batu Niah. – Bernama