Wednesday, February 19, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sarawak peruntuk lebih banyak dana tangani masalah kesihatan mental

    KUCHING, 19 Julai – Kerajaan negeri Sarawak meningkatkan peruntukan kepada kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Masyarakat, Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak bagi aktiviti dan promosi kesihatan mental, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

    Beliau berkata ia akan melibatkan peruntukan bajet yang sesuai bagi semua aspek promosi kesihatan mental terutama di kalangan kanak-kanak sekolah, bagi membina daya tahan mereka.

    “Ini dapat membantu bagi menambah baik kesihatan mental dan mengurangkan tingkah laku bunuh diri dalam pelan pembangunan bagi negeri kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Sedunia bagi Persatuan Antarabangsa Untuk Pencegahan Bunuh Diri ke-29 (IASP) dan Persidangan Perubatan Psikologi Malaysia (MCPM) ke-21 di sini hari ini.

    Beliau berkata kerajaan amat prihatin terhadap impak gangguan mental seperti kemurungan, kebimbangan, dan penyalahgunaan dadah dan alkohol kerana ini adalah penyumbang utama kepada tindakan membunuh diri.

    Katanya kajian Kesihatan dan Mobiditi Nasional yang terbaru menunjukkan hampir 30 peratus penduduk Malaysia mengalami masalah kesihatan mental.

    Walaupun terdapat banyak sebab untuk membunuh diri di kalangan golongan muda, Abang Johari berkata budaya membuli telah menjadi faktor penyumbang utama sambil menambah beliau secara peribadi amat bimbang dengan perkara ini.

    Abang Johari berkata tekanan terhadap pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik menyumbang kepada peningkatan jumlah kes bunuh diri apabila keputusan peperiksaan utama diumumkan. Sehubungan itu, beliau menggesa aspek ini perlu ditangani para guru, ibu bapa dan agensi berkaitan.

    “Untuk ini, mereka perlu dilatih secukupnya. Kerajaan negeri akan memberi pertimbangan terhadap permohonan bantuan bagi mencapai matlamat ini,” katanya.

    Abang Johari juga meminta ahli akademik dan profesional untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenai tingkah laku bunuh diri di Sarawak bagi memberikan gambaran lebih jelas tentang sejauh mana masalah itu berlaku di negeri ini, penyebabnya dan pendekatan bagi menguruskan masalah yang menyedihkan ini di kalangan rakyat. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda