KUCHING, 15 MAC – Sebuah pusat perubahan iklim dirancang untuk ditubuhkan di Sarawak bagi menyelia dan menguruskan isu berkaitan perubahan iklim dan perdagangan karbon di negeri itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelan pelaksanaannya kini pada peringkat awal dan rangka kerja sedang dirancang bagi penubuhan pusat itu.
“Dengan penubuhan pusat itu, Sarawak boleh meletakkan dirinya sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di rantau ini, sekali gus menarik pelaburan dan bakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lestari.
“Pusat itu juga boleh menyokong pembangunan dasar dan peraturan yang menggalakkan amalan kelestarian termasuk tenaga boleh diperbaharui,” katanya dalam ucaptama semasa Persidangan Karbon Asia 2023 di sini, hari ini.
Persidangan tiga hari yang bermula semalam, bertujuan membincangkan perdagangan karbon dan menetapkan aras untuk pembuatan polisi, peluang pelaburan dan teknologi baharu dalam pasaran karbon. Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak kini sedang membangunkan polisi perubahan iklim negeri, yang menyediakan rangka kerja komprehensif untuk menangani isu kritikal itu. – Bernama
