Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sarawak rangka syarat pengiktirafan status peribumi

    KUCHING, 14 JULAI – Kerajaan negeri Sarawak sedang dalam proses merangka syarat serta keperluan yang akan dikenakan bagi pengiktirafan status peribumi di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022.

    Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata ordinan yang diluluskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 15 Februari lepas telah disiarkan dalam Sarawak Gazette pada 25 Februari lalu.

    Beliau berkata bagaimanapun ordinan itu masih belum berkuat kuasa.

    “Kerajaan negeri sedang dalam proses merangka syarat dan keperluan yang akan dikenakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi pengiktirafan seseorang (yang merupakan warganegara dan anak kandung kepada seseorang daripada kaum pribumi Sarawak), sebagai peribumi Sarawak seperti yang termaktub dalam Ordinan berkenaan.

    “Justeru bagi menjaga kedudukan dan hak istimewa peribumi Sarawak yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, kerajaan negeri perlu memastikan syarat dan keperluan itu adalah bersesuaian, munasabah, praktikal dan lebih penting lagi tidak berlebihan dengan syarat semasa, keperluan dan proses,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Majlis Adat Istiadat Sarawak, Mahkamah Anak Negeri Sarawak, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Peguam Negara meneliti penggubalan syarat dan keperluan untuk dikenakan secara holistik. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...