SERI ISKANDAR, 16 NOV – Sarawak di kedudukan yang kukuh untuk menuju ke arah mencapai ekonomi rendah karbon serta menyediakan tenaga bersih dan bahan api rendah karbon seperti gas asli cecair dan hidrogen, kata Petroleum Sarawak Bhd (Petros) hari ini.
Timbalan Presiden Kanan Strategi Korporat Abang Arabi Abang Narudin berkata Petros telah memulakan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak untuk meningkatkan penggunaan gas asli bagi merangsang pertumbuhan industri hiliran negeri, yang akan diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi dan pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.
“Apabila kami membuat kajian (untuk pelan hala tuju) sebelum ini, Sarawak merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara tetapi dari segi pendapatan isi rumah, kami adalah ketiga termiskin di seluruh Malaysia.
“Ini menyemarakkan hasrat Petros untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri bagi memastikan pelan hala tuju itu berjaya,” katanya pada sesi panel Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia 2023: Wilayah Utara hari ini.
Petros, yang telah memperoleh lesen pertama untuk penyimpanan karbon pada Mac tahun ini, melihat penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon sebagai aliran hasil tambahan yang berpotensi untuk Sarawak.
Kerajaan Sarawak telah memberi kepercayaan kepada firma minyak negeri itu untuk menguruskan sumber asli negeri dan Petros menjangkakan Sarawak mempunyai kapasiti bersamaan 80 juta tan karbon dioksida (CO2) setahun pada masa hadapan.
Beliau berkata pada masa ini Sarawak dianggarkan mempunyai 9 bilion tan metrik kapasiti penyimpanan untuk CCS. – Bernama
