Sarawak: Subsidi 70 peratus bayaran penyambungan elektrik

KUCHING, 19 JULAI  – Kerajaan Sarawak memberi subsidi 70 peratus caj penyambungan bekalan elektrik untuk pemilik rumah daripada golongan berpendapatan rendah atau B40 di kawasan bandar jika kosnya antara RM5,000 dan RM10,000, kata Menteri Utiliti negeri Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Katanya kementerian itu dan Sarawak Energy Bhd bekerjasama untuk memastikan pakej subsidi itu, berkuat kuasa awal bulan ini, dapat membantu meringankan beban kewangan pemilik rumah dalam menampung kos penyambungan bekalan elektrik daripada talian bekalan utama ke rumah mereka.

Beliau juga berkata penyambungan elektrik daripada talian bekalan utama ke rumah akan diberikan secara percuma jika kosnya di bawah RM5,000.

“Ia (pakej ini) ditawarkan bagi pelanggan pemilik rumah perseorangan yang pertama kali memohon bagi bekalan sehingga kapasiti maksimum 10KVA.

“Caj penyambungan biasanya termasuk yuran sebuah rumah, pemasangan dan kos bahan, caj kapasiti dan kos meter. Caj berkenaan tidak termasuk pemasangan pendawaian dalam rumah yang perlu ditanggung oleh tuan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama