Sarawak teruskan pembangunan infra

KUCHING, 9 JUN – Kerajaan negeri Sarawak akan meneruskan pelaksanaan projek infrastruktur yang telah dipersetujui, sebagai pendekatan jangka pendek pembukaan semula ekonomi secara berperingkat, setelah mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek-projek infrastruktur itu turut merangkumi pembangunan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang bernilai hampir RM30 bilion, pembinaan jambatan dan jalan raya, kemudahan awam, serta program transformasi luar bandar.

“Kami akan meneruskan projek ini dengan segera, apabila kerajaan (Persekutuan) mengumumkan kita boleh meneruskan kegiatan ekonomi,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Pasca COVID-19: Normal Baharu Sarawak’ yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Dalam webinar yang dikendalikan Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman sebagai moderator, Abang Johari berkata, untuk pendekatan jangka panjang, kerajaan negeri telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC), bagi merangka agenda pembangunan ekonomi negeri sehingga 2030. “Terdapat 10 sektor yang harus diteliti (oleh SEAC) dan ada jawatankuasa kecil di mana mereka akan mempertimbangkan arah ekonomi kita, kerana kita merasakan bahawa setelah COVID-19 ini, pelan asal di bawah Rancangan Malaysia ke-12 tidak lagi relevan,” katanya. – Bernama