Sarawak teruskan program rumah keduaku

KUCHING, 4 SEPT – Kerajaan Sarawak akan terus menawarkan program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2H) kepada warga asing walaupun kerajaan persekutuan memutuskan menangguhkan MM2H sehingga 31 Disember.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata warga asing boleh memohon S-MM2H dengan perlu mematuhi peraturan dan syarat baharu yang telah ditambah baik bagi program itu yang berkuat kuasa 1 September.

“Program S-MM2H tidak akan memberi kesan terhadap langkah kerajaan persekutuan menangguhkan program MM2H dan warga asing yang berminat dialu-alukan untuk memohon,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan peraturan dan syarat baharu S-MM2H, di sini hari ini.

Menurutnya, MM2H perlu ditangguh sementara berikutan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Persekutuan perlu menyemak dan menilai semula program itu sejak dilaksanakan pada 2002.

“Sebagai respons terhadap pemulihan pasca-COVID-19, Sarawak perlu terus giat mempelbagaikan sektor pelancongannya melangkaui pelancongan santai dengan melihat pada potensi S-MM2H sejak kebelakangan ini dalam membawa masuk pelawat berkualiti,” katanya.

Abdul Karim berkata wabak COVID-19 global ditambah dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan dan kawalan sempadan telah menyebabkan penurunan ketara dalam pelancongan, mengakibatkan impak teruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap sektor pelancongan Sarawak.

“Promosi pelancongan yang menjana hasil tinggi seperti menerusi program S-MM2H untuk tinggal lebih lama pastinya akan memberi manfaat pada sektor pelancongan di Sarawak menerusi pendapatan perbelanjaan dan pelaburan kediaman yang berpotensi,” katanya. – Bernama