Sarawak tingkat penguatkuasaan bendung COVID-19

KUCHING, 20 JULAI – Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan meningkatkan lagi penguatkuasaan bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan warga tempatan.

Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beliau telah mengarahkan pasukan pemantauan untuk lebih tegas dalam penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Ketua Menteri I itu berkata ujian dan saringan COVID-19 juga akan diperluas ke kawasan yang berkemungkinan berlaku penularan wabak tersebut terma-suk tapak pembinaan, perladangan, pasar, rumah penjagaan orang tua serta beberapa sekolah di sekitar Kuching dan Samarahan.

“Sehingga 19 Julai, seramai 61,368 individu telah disaring untuk COVID-19 menggunakan ujian RT-PCR bagi seluruh negeri Sarawak di mana seramai 608 individu telah dikesan positif ujian itu bersamaan dengan 0.99 peratus,” katanya pada sidang media COVID-19 di sini hari ini,

Menurutnya, sebanyak 833 sampel RT-PCR telah diambil dari 110 tapak pembinaan yang telah dikenal pasti iaitu Sri Aman (empat), Betong (satu), Miri (83), Samarahan (tiga), Sibu (satu), Bintulu (16) serta Serian (dua), dan daripada jumlah itu, sebanyak 788 sampel didapati negatif manakala 45 lagi masih menunggu keputusan.

Selain itu, Uggah berkata bagi saringan di kawasan perladangan, sebanyak 31 sampel telah diambil yang merangkumi 16 sampel dari pekerja tempatan dan 15 dari pekerja asing dan daripada jumlah tersebut, 24 sampel adalah negatif dan tujuh sampel masih menunggu keputusan. – Bernama