Saringan HIV percuma untuk lelaki

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, lebih 70 orang di Brunei Darussalam dijangkiti HIV antara 2018 dan 2019 dengan 90 peratus daripada jumlah berkenaan adalah dalam kalangan lelaki.

Berdasarkan maklumat berkenaan, Majlis AIDS Brunei Darussalam (BDAC) mengiktiraf bahawa ujian HIV dalam golongan yang paling berisiko akan membuat impak besar dalam respons kepada epidemik HIV di negara ini.

Sehubungan itu, majlis berkenaan memutuskan untuk memperkenalkan program saringan yang bertujuan untuk mewujudkan tempat selamat bagi lelaki mendapatkan saringan dan menyediakan ujian berkenaan secara percuma sebagai sebahagian daripada usaha mereka untuk menggalakkan lebih ramai kalangan lelaki menjalani saringan.

BDAC dalam kenyataannya menjelaskan, mereka yang berminat boleh menghantar mesej langsung menerusi media sosial di akaun Facebook dan Instagram BDAC untuk menempah slot bagi saringan.

Ujian berkenaan dijalankan secara berkala oleh doktor-doktor sukarelawan, tambah kenyataan itu.

Para peserta program saringan itu juga diberi peluang untuk mendapatkan nasihat dan belajar mengenai bagaimana mereka boleh melindungi diri mereka daripada dijangkiti HIV.

Sebarang maklumat mengenai peserta dianggap sulit dan tidak dikongsi dengan sesiapa tanpa kebenaran mereka. Jika mereka diuji positif, mereka akan dirujuk ke fasiliti penjagaan kesihatan di mana mereka akan mendapat akses kepada rawatan dan penjagaan HIV yang diperlukan.

Kenyataan menekankan, diagnosis awal bukan sahaja memastikan mereka yang dijangkiti HIV mempunyai akses awal kepada rawatan dan penjagaan supaya mereka dapat menjalani kehidupan normal, malah membantu mencegah penyebaran terus penyakit berkenaan.