Saringan ketat buat kontraktor penyiap projek ‘sakit’

KUCHING, 14 NOV – Pemilihan kontraktor penyiap bagi menyelamatkan projek ‘sakit’ yang lewat pembinaan atau gagal siap mengikut jadual dilakukan melalui proses saringan ketat oleh Kementerian Kerja Raya.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini bagi memastikan hanya kontraktor yang mempunyai rekod prestasi baik sahaja dipilih bagi menyelamatkan sesuatu projek.

Beliau berkata antara aspek penilaian yang dilihat termasuk kekuatan kewangan, pengalaman serta keupayaan teknikal juga aset-aset syarikat kontraktor tersebut.

“Mereka harus mempunyai rekod prestasi baik. Adalah lebih cepat untuk kita memulihkan projek berbanding jika kita ikut proses biasa untuk buka semula tender dan sebagainya yang ambil masa lama,” katanya. – Bernama