Saringan pandu lalu usaha baharu kekang COVID-19 di Sibu

SIBU, 13 JAN – Pusat saringan COVID-19 pandu lalu yang pertama di bandar ini dibuka hari ini bagi membantu menampung operasi di tiga pusat saringan sedia ada.

Terletak di bangunan Pustaka Negeri Sarawak di sini, pusat berkenaan beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu mulai pukul 8 pagi hingga 4 petang, tanpa caj dikenakan.

Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapaee berkata tempahan awal juga tidak perlu dibuat dan orang ramai boleh terus hadir melakukan saringan.

“Orang ramai yang hadir juga tidak perlu parkir kereta mereka, cuma pandu lalu saja, macam perkhidmatan pandu lalu biasa. Ini lebih mudah dan dapat membantu mengurangkan masalah kesesakan berikutan kebanjiran ramai orang.

“Makin banyak pusat dibuka, makin banyak saringan ujian COVID-19 dapat dilakukan dan makin awal kesan kes-kes positif,” katanya kepada Bernama.

Tiga pusat saringan sedia ada sebelum ini iaitu di Klinik Kesihatan Lanang, Klinik Kesihatan Sibu Jaya dan Stadium Tertutup Sibu dibuka sejak 10 Jan lepas. Kos saringan di keempat-empat pusat ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Menurut Dr Annuar, sehingga kini seramai kira-kira 4,000 orang telah menjalani saringan COVID-19 di ketiga-tiga tempat. – Bernama