MOSCOW, 6 FEB – Kremlin berkata hari ini ia telah memulakan pemeriksaan suhu badan pegawai dan wartawan yang menghadiri acara yang membabitkan Presiden Vladimir Putin disebabkan kebimbangan koronavirus.
“Ia adalah langkah mencegah,” beritahu jurucakap presiden Dmitry Peskov kepada agensi berita RIA Novosti selepas wartawan menjalani pemeriksaan di Kremlin petang hari ini.
Peskov berkata semua peserta mesyuarat yang membabitkan pemimpin Rusia berusia 67 tahun itu akan diperiksa.
“Terdapat prosedur saringan baharu di Kremlin sekarang – ada orang yang memegang kamera terma untuk mendapatkan suhu anda,” kata Anton Zhelnov, wartawan dengan saluran bebas TV Rain, di Facebook.
Semua wartawan Kremlin mempunyai suhu badan mereka dicatat sebelum bermulanya mesyuarat Majlis Negara, badan penasihat rasmi, pada hari ini, kata RIA Novosti, dengan semua orang dibenarkan masuk.
Pegawai mengesahkan langkah tersebut telah diperkenalkan untuk menghalang penularan koronavirus novel di Rusia, tambah agensi berita itu. – AFP




























