Sariqah, kena 3 tahun penjara

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seorang lelaki telah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, atas tiga pertuduhan bagi kesalahan melakukan sariqah (curi) dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi setiap kesalahan yang dijalani secara berturut-turut (36 bulan keseluruhannya).

Abdul Hafiz bin Haji Muhammad Irwan disabit bersalah atas pertuduhan di bawab Bab 55(3)(b) Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013 yang setakat membawa hukuman ta’zir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hasil siasatan oleh Balai Polis Pusat, Bandar Seri Begawan telah mendapati bahawa tertuduh telah mengambil pelbagai peralatan kereta (bampar, double din radio tape dan meter kereta) dari sebuah kereta yang diletakkan di kawasan letak kereta Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS).

Tertuduh juga mencuri empat rim sport dan empat biji tayar dari sebuah kereta yang diletakkan di Jalan Robert, Bandar Seri Begawan sebagaimana yang pernah tular dalam media sosial serta mencuri empat rim sport, empat biji tayar dan satu double din radio tape daripada sebuah kereta yang diletakkan di kawasan komersial Gadong.

Kenyataan menyatakan, barang curi yang didapati semula telah dikembalikan kepada mangsa berdasarkan Bab 61(1) Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, manakala itu, barang yang tidak dapat diperolehi semula, pesalah perlu membayar ganti sebanyak $150 kepada mangsa.

Dalam menjatuhkan hukuman ke atas pesalah, kelmarin, hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah memperingatkan bahawa perbuatan sariqah adalah kesalahan yang dipandang serius di sisi hukum syarak.

Kes curi yang berleluasa di negara ini juga menjadi kekhuatiran dan ancaman kepada pemerintah, negara dan masyarakat. Perbuatan sariqah adalah berbahaya kepada masyarakat dan negara, oleh itu hendaklah dihindari.

Pendakwaan telah dijalankan oleh pendakwa syarie dari Bahagian Pendakwaan Syarie, KHEU.