Sariqah: Lelaki tempatan dihukum penjara sebulan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Seorang lelaki tempatan berumur 21 tahun telah dijatuhi hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Bandar Seri Begawan, hari ini, atas kesalahan melakukan sariqah (curi).

Muhammad Shafri Khairul Izzani bin Haji Muhammad Jeffri disabit bersalah di bawah Bab 55(3)(b) dari Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang setakat membawa hukuman ta’zir.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), dalam kejadian yang berlaku pada Mac lalu pesalah telah didapati mencuri dompet dan wang tunai sebanyak $180 milik ibu saudaranya di sebuah rumah di kawasan Kampung Danau, Daerah Tutong.

Mahkamah memerintahkan supaya harta yang dicuri dikembalikan dan pesalah membayar ganti rugi sebanyak $180 kepada mangsa, kerana wang yang dicuri telah digunakan oleh pesalah.

Siasatan telah dijalankan oleh Balai Polis Tutong, manakala pendakwaan dijalankan oleh pendakwa syarie dari Bahagian Pendakwaan Syarie, KHEU.