Sariqah: tertuduh dipenjara 24 bulan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara selama 24 bulan kerana disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Syariah hari ini atas kesalahan melakukan sariqah (curi).

Tertuduh didakwa di bawah Bab 55 (3) (b) dari Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah, 2013 yang setakat dikenakan hukuman takzir.

Dalam kejadian yang berlaku pada 29 Februari lalu, Waliuddin bin Hassan, 34, didapati mencuri minyak motor dari salah sebuah kedai di Sengkurong dengan cara memasukkannya ke dalam pakaian yang dipakainya.

Bagaimanapun, perbuatan pesalah telah dirakam melalui rakaman kamera litar tertutup CCTV dan sempat disaksikan oleh pekerja kedai tersebut.Beliau disabitkan bersalah dan dihukum penjara bermula dari tarikh penahanannya iaitu 29 Februari 2020.

Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira bahawa pesalah pernah dihukum enam kali sebelum ini atas kesalahan mencuri.

Mahkamah juga memerintahkan barang yang curi untuk dikembalikan kepada pemiliknya.

Siasatan telah dijalankan oleh Balai Polis Sengkurong, manakala pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Syar’ie dari Bahagian Pendakwaan Syar’ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama.