LONDON, 1 Mei – Maurizio Sarri mencabar Chelsea menamatkan saingan musim ini dengan kejayaan selepas menempuh kempen terumbang ambing yang mengakibatkan jawatannya terancam di Stamford Bridge.
Skuad Sarri akan membuat kunjungan ke Eintracht Frankfurt bagi aksi separuh akhir pertama Liga Europa, awal pagi Jumaat ini dengan hakikat hanya kemenangan mampu menyelamatkan mereka daripada masalah.
Chelsea ketika ini menghuni tangga keempat Liga Perdana Inggeris berbaki dua perlawanan menentang Watford dan Leicester serta muncul pasukan pilihan untuk mara ke final Liga Europa.
Tiket ke saingan Liga Juara-Juara, tidak kira diperoleh daripada memenangi Liga Europa dan menamatkan saingan Liga Perdana di tangga empat terbaik dianggap sebagai kejayaan buat Sarri yang sebelum ini berdepan tempoh sukar pada musim pertamanya di Chelsea.
Begitupun di sebalik semua masalah, termasuk dimalukan penjaga golnya, Kepa Arrizabalaga, bekas pengurus Napoli itu berpeluang untuk menyelamatkan dirinya.
“Kami bersaing untuk kedudukan empat terbaik dan di separuh akhir Liga Europa. Kami sudah pun mendapat musim yang bagus,” kata Sarri. “Kini kamu mempunyai dua sasaran yang amat penting.”
Bertemu Eintracht, masalah Sarri disebabkan kecederaan bertambah selepas pertahanannya, Antonio Rudiger terpaksa disisihkan bagi keseluruhan kempen musim ini, semalam.
Pertahanan Jerman itu difahamkan dijadual akan menjalani pembedahan di Itali selepas dipapah keluar ketika Chelsea mengikat Manchester United 1-1, minggu lalu.
Sekali pun mencatat dua keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir liga, Chelsea begitupun masih dilihat sebagai calon terbaik untuk mengisi kedudukan empat terbaik dan kejayaan di pentas Liga Europa pasti meningkatkan motivasi Sarri. – AFP