LONDON, 6 Ogos – Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri akan mengadakan perbincangan bersama Thibaut Courtois hari ini selepas menurut ejen penjaga gol Belgium itu bahawa beliau mahu menyertai Real Madrid.
Courtois terlepas perlawanan menentang Manchester City semalam dalam saingan Community Sheild semalam di mana beliau masih berehat selepas aksi Piala Dunia.
Tetapi pemain berusia 26 tahun itu tetap menjadi topik hangat di Wembley di mana ejennya, Christophe Henrotay menyeru kepada Chelsea untuk menunjukkan ‘belas kasihan’ terhadap cubaan Real yang cuba mendapatkan pemain bintang itu.
Real berusaha untuk menggantikan penjaga gol, Kaylor Navas dan bekas bintang Atletico Madrid, Courtois menjadi sasaran utama Real dan menurut Henrotay, perjanjian itu akan menjadi ‘pilihan yang tepat.’
Courtois masih memiliki kontrak setahun bersama Chelsea tetapi kelab Liga Perdana itu berusaha untuk mengekalkannnya meskipun Madrid dilaporkan membuat bidaan berjumlah AS$46 juta.
Penjaga gol Belgium itu akan menyertai sesi latihan pra musim hari ini dengan skuad The Blues akan memulakan kempen Liga Perdana di Huddersfield pada Sabtu ini dan Sarri bersedia untuk berbincang dengan pemainnya.
Memberi bayangan bahawa beliau mungkin berniat untuk menjual Courtois jika beliau benar-benar mahu meninggalkan kelab itu, menurut Sarri: “Saya tidak akan memberi reaksi dan tidak berminat mengenai ejen. Saya mahu mendengar dari pihak Courtois.
“Jika esok Courtois bercakap perkara yang sama kepada saya, saya akan bercakap kepada pihak kelab. – AFP