Sarri jurulatih Juve?

ROM, 14 JUN – Juventus bersedia melantik Maurizio Sarri sebagai jurulatih baharu kelab itu, hari ini selepas bersetuju dengan perjanjian pampasan dengan Chelsea, lapor media Itali, semalam.

Sky Sport Italia melaporkan perjanjian berkenaan bernilai 3.5 juta euro dengan dana akan digunakan bagi kelab Liga Perdana itu membawa masuk bekas pemain, Frank Lampard ke Stamford Bridge dari kelab Liga Kejuaraan, Derby County.

Sarri dijangka akan menandatangani perjanjian selama tiga tahun bersama juara Itali itu, menurut laporan berkenaan.

Sarri, dari Itali tampak tidak selesa dengan layanan peminat di Stamford Bridge dan sekali pun memenangi Liga Europa serta menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga, taktik jurulatih itu sukar untuk diterima. Beliau paling kuat dikaitkan dengan Juventus selepas peletakan jawatan Massimiliano Allegri.

Sarri sebelum ini menggantikan Antonio Conte sebagai pengurus Chelsea musim panas lalu selepas menghabiskan tempoh tiga tahun di Napoli. – AFP

Gambar fail yang tidak bertarikh menunjukkan Maurizio Sarri ketika bercakap pada sidang akhbar di Stamford Bridge. – AFP