Sarri kecam sikap pemain Chelsea

WOLVERHAMPTON, United Kingdom, 6 Dis – Maurizio Sarri mendakwa skuad kendaliannya, Chelsea, bersikap terlalu yakin selepas mensia-siakan pendahuluan untuk tewas 2-1 di Wolverhampton Wanderers awal pagi tadi.

Chelsea dilihat berada dalam laluan untuk memenangi perlawanan menerusi jaringan pembukaan Ruben Loftus-Cheek ketika pasukan pelawat mendominasi permainan pada separuh masa pertama, tetapi dua jaringan dalam tempoh empat minit pada separuh masa kedua menyaksikan Wolves melakarkan kemenangan pertama mereka dalam tujuh perlawanan dan memastikan kekalahan kali kedua buat pasukan kendalian Sarri sejak mengambil alih kepimpinan pada musim panas.

Seterusnya Chelsea akan menghadapi tugasan getir bagi menghentikan Manchester City di Stamfrod Bridge pada hujung minggu ini dan Sarri menggambarkan kedudukan yang sukar terhadap keyakinan mereka, tetapi mengisytiharkan dirinya ‘bimbang’ dengan kekalahan di Molineux.

“Selepas perlawanan ini kami kurang berkeyakinan tetapi ia mungkin lebih baik kerana kadangkala pemain–pemain menunjukkan kepada saya mereka terlalu yakin,” kata pengurus dari Itali itu.

“Kami beraksi dengan baik bagi tempoh 55 minit. Selepas jaringan terikat seri 1-1, yang mana satu kesilapan kerana kami mengawal permainan sepenuhnya, kami dengan tiba-tiba menjadi pasukan lain tanpa hala tuju yang tepat dan tanpa bola sepak.

“Saya tidak tahu mengapa. Saya merasa bimbang, bukan kerana keputusan tetapi selepas kami bolos satu jaringan kami tidak memberikan reaksi dengan baik. Saya bimbang dengan perkara ini, bukan keputusan.”

Chelsea terlepas beberapa peluang untuk melanjutkan pendahuluan mereka dan dinafikan kemungkinan penalti lebih awal pada separuh masa kedua apabila Alvaro Morata dalam keadaan bergelut dengan pemain pertahanan Wolves, Willy Boly. – AFP

Morata cuba bangun semula selepas mensia-siakan peluang di depan gawang ketika menentang Wolves. – AP