LONDON, 7 Mac – Maurizio Sarri sudah merancang untuk musim depan selepas menegaskan bahawa dia menjangka akan kekal mengendalikan Chelsea meskipun kempen pertamanya mengalami kesukaran.
Sarri dilaporkan diambang pemecatan selepas Chelsea mengalami kekalahan memalukan di Bournemouth dan Manchester City, kemudian tersingkir keluar dari saingan Piala FA oleh Manchester United.
Blues juga tewas di final Piala Liga kepada Manchester City, dengan Sarri menjadi tumpuan apabila dimalukan oleh penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, yang enggan diganti di Wembley.
Tetapi cabaran ke atas kuasa pengurus Itali itu sebaliknya mencetuskan kebangkitan Chelsea.
Kemenangan penting ke atas Tottenham dan Fulham telah mengekalkan Chelsea dalam perebutan empat kedudukan teratas dan memberikan Sarri ruang bernafas.
Bekas bos Napoli itu masih belum terselamat kerana penyingkiran dari Liga Europa menentang Dynamo Kiev, yang akan berkunjung ke London bagi pusingan 16 terbaik awal pagi Jumaat, akan meletakkannya semula dalam situasi bahaya.
Bagaimanapun, Sarri tidak bimbang dengan spekulasi mengenai masa depannya, lebih berminat untuk melihat musim depan, percaya bahawa dia akan kekal di Stamford Bridge.
“Ia bukan masalah besar. Masalahnya adalah keputusan. Perkara selain itu tidak penting ketika ini,” Kata Sarri kepada wartawan apabila ditanya mengenai prospek kerjanya.
“Saya mahu menang bersama pasukan, kelab, bukan untuk saya. Ia tidak penting.
“Saya yakin. Saya yakin di masa lalu dan kini setentunya saya yakin.
“Kami bercakap mengenai masalah bagi pra musim seterusnya. Jadi kami sedang mengatur pra musim sebaiknya.
“Tetapi saya hanya mahu memikirkan permainan dan keputusan kami. Tiada lain.” – AFP

































