Sarung senjata hasil tangan OKU dapat permintaan

MACHANG – Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Itu yang berjaya dibuktikan Husmizi Ibrahim, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengambil inisiatif menghasilkan pelbagai jenis sarung senjata sebagai punca pendapatan menyara keluarga.

Husmizi , 47, atau lebih mesra disapa Ngah mengakui tidak pernah terbayang menjadi OKU sehinggalah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2002 yang menyebabkan dirinya lumpuh dari paras pinggang ke bawah akibat patah tulang belakang.

Enggan terus terlantar dan hanya mengenang nasib, bekas pendawai elektrik itu bangkit mengusahakan sarung senjata termasuk golok, pedang dan badik sejak 2008, selepas beberapa tahun kehilangan pendapatan.

“Segalanya bermula selepas saya cuba menghasilkan sarung golok untuk kegunaan sendiri. Tidak sangka hasil kerja saya disukai dan menarik perhatian abang ipar, Abdul Aziz Harun, 62, yang kemudian menempah sarung golok.

“Daripada sekadar suka-suka, terdetik untuk melakukannya secara serius sebagai sumber pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong, di sini.

Husmizi Ibrahim yang juga mesra disapa Ngah menyiapkan sarung parang yang ditempah oleh pelanggannya di bengkel belakang rumahnya di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong. – Bernama

Husmizi bersyukur apabila mendapat bantuan sebanyak RM53,000 daripada Jabatan Tenaga Kerja bagi membina bengkel dan membeli enam mesin kayu untuk melakukan kerja-kerja pertukangan.

Selepas tempahan pertama oleh abang iparnya itu, permintaan bagi membuat pelbagai sarung senjata datang tidak putus-putus hasil daripada promosi daripada mulut ke mulut.

“Sarung senjata ini saya jual pada harga serendah RM80 dan ada yang mencecah RM800 bergantung kepada saiz serta jenis dan corak kayu yang digunakan. Kebiasaannya saya gunakan kayu jenis kemuning, buwei dan penawar hitam yang dibeli daripada pembekal. 

“Sebuah sarung senjata saya boleh siapkan dalam sehari dan paling lama seminggu bergantung pada corak serta kesukaran untuk dihasilkan. Selain itu, dalam sebulan saya mampu menyiapkan kira-kira 12 hingga 15 sarung dengan pendapatan bulanan mencecah sehingga RM1,000 sebulan,” katanya yang turut menerima Elaun Pekerja Cacat sebanyak RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Husmizi antara risiko dan kesukaran ketika menghasilkan sarung senjata adalah jika kayu digunakan mudah pecah dan tersalah tebuk menyebabkan kerugian kerana tidak boleh digunakan lagi.

Selain permintaan masyarakat setempat, tempahan juga diterimanya daripada pelanggan luar Kelantan termasuk golongan kenamaan. – Bernama