Sasar 100,000 divaksin dalam dua minggu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Bermula minggu hadapan dan dalam masa 10 hingga 14 hari selepasnya, Kementerian Kesihatan berharap dapat mencapai sasaran sejumlah 100,000 orang penduduk negara ini dapat divaksinasi.

Sasaran awal adalah 10,000 orang dalam masa sehari dan seterusnya dalam masa seminggu sejumlah 100,000 orang, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa menjawab soalan daripada pihak media pada sesi sidang media yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian kesihatan hari ini.

Menurutnya, dalam masa dua bulan, kementerian berharap 20 peratus daripada jumlah penduduk mendapat suntikan vaksin dan pada penghujung tahun kelak, semua sudah mendapat suntikan vaksin.

Namun pemberian suntikan juga akan tertakluk kepada jumlah petugas barisan hadapan yang boleh memberi suntikan vaksin dan juga ketersediaan vaksin.

“Apa yang diharap pada minggu hadapan, dengan pembukaan pusat-pusat pemberian vaksinasi baharu, kita boleh mencapai kapasiti 10,000 orang dalam masa sehari dan dalam masa dua minggu, sudah dapat memberi suntikan kepada 100,000 orang yang dalam masa dua bulan, mereka akan dapat dos kedua vaksin,” jelasnya.

Menurutnya lagi, pada masa ini suntikan vaksin AstraZeneca (AZ) masih lagi digunakan dan berharap akan memperoleh vaksin baharu pada penghujung minggu kelak dan akan diumumkan jika vaksin tersebut tersedia, bagi membolehkan negara memvaksin 10,000 penduduk sehari.

“Kelmarin, pusat vaksinasi telah memberikan suntikan vaksin kepada sejumlah 6,000 orang,” tambahnya.

Gambar fail orang ramai yang telah menerima vaksin pada permulaan fasa ke-3 program vaksinasi, sebelum penularan kes komuniti COVID-19. Kementerian Kesihatan menyasarkan pemvaksinan kira-kira 100,000 orang dalam masa dua minggu bermula minggu depan.