Sasar bapa, anak tertembak

KIEV, 2 DIS – Polis berkata hari ini mereka telah menahan suspek selepas seorang budak lelaki berusia tiga tahun ditembak mati dalam sebuah kereta di Kiev dalam serangan yang menyasarkan bapanya, seorang ahli perniagaan dan penggubal undang-undang serantau.

Penyerang menyasarkan pemandu kereta, namun peluru terkena budak lelaki yang juga berada di dalam kereta, kata polis Kiev selepas kejadian tembakan di pusat bandar pada malam semalam.

Kanak-kanak malang itu meninggal dunia dalam ambulans ketika perjalanan ke hospital manakala penyerang terbabit melarikan diri.

Media Ukraine mengenal pasti sasaran sebagai Vyacheslav Sobolev, pemilik restoran dan penggubal undang-undang Kiev yang mewakili parti bekas presiden Petro Poronshenko.
Beliau sedang memandu di pusat bandar pada lewat malam semalam apabila tiba-tiba diserang kumpulan bersenjata api itu.

Penyerang dilaporkan cuba menembak Sobolev menerusi tingkapnya, tetapi peluru tersasar dan terkena anaknya yang masih kecil.

Kejadian tembakan berlaku di luar sebuah restoran Itali yang dimilikinya, lapor media.
Penyiasat sedang menyoal suspek. – AFP