KUALA LUMPUR, 12 April – Turkum International Dis Ticaret A.S, syarikat pembuat jam tangan solat digital dari Turki, menyasarkan jam jenama Mikat meraih nilai jualan AS$300,000 (AS$1 = RM4.43) di Malaysia tahun ini.
Pengerusinya, Abdulehed Abdulqayyum berkata, jam tangan solat dengan ciri istimewa termasuk azan, waktu solat di semua bandar di seluruh dunia dan petunjuk arah kiblat automatik itu dilancarkan di Turki pada 2011.
Beliau berkata, produk itu kemudiannya menembusi pasaran Malaysia pada 2015. “Kami masih baharu dalam pasaran Malaysia dan kami menyasar untuk menjual sekurang-kurangnya 10,000 unit jam tangan solat yang sesuai untuk lelaki dan wanita itu tahun ini,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata, jam tangan Mikat yang ditawarkan dengan tujuh rekaan — Classic Sport, Sport, Luxury Sport, Classic, Deluxe, Miat Classic dan Luxury — telah dipasarkan di lebih 1,300 bandar di seluruh dunia.
“Kita boleh menggunakan jam tangan solat ini tanpa Internet untuk mencari arah kiblat. Ia akan membuat kiraan automatik melalui pemilihan negara dan bandar anda, selain waktu solat akan dikemaskini setiap hari manakala penggera akan berbunyi setiap kali masuk waktu solat,” katanya.

Abdulehed berkata, dengan enam tahun pengalaman dalam pembuatan jam tangan, Turkum International mengambil tempoh dua tahun untuk mencipta jam tangan itu, bermula dengan perisian sehingga proses rekaan.
“Ia bukan sesuatu yang mudah, dengan satu bahagian komponen jam adalah dari Jepun manakala bahagian utama dari Taiwan, sementara kompas dari Jerman,” katanya. Jam tangan solat Mikat juga dilengkapi tujuh bahasa berbeza iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Arab, Turki, Perancis, Urdu dan Rusia.
Beliau berkata, selain itu kalendar Hijri dan Gregorian, kronometer, tasbih digital dan aplikasi zikir untuk mengingatkan pengguna mengucapkan 10 zikir berbeza setiap jam, turut melengkapkan jam tangan Mikat.
“Semua jam tangan kami adalah kalis air, sekali gus menjadikan amalan berwuduk lebih praktikal,” katanya. – Bernama