KOTA KINABALU, 16 Jan – Sabah menyasarkan lebih banyak penerbangan terus dari pelbagai destinasi antarabangsa dan akan terus berusaha untuk menampung peningkatan pelancong ke negeri tersebut.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, ini termasuk kehadiran 62 penerbangan sewa khas dari China yang dijangka tiba di Kota Kinabalu dalam masa tiga bulan akan datang.
“Kita perlu menyediakan bilik hotel yang cukup dan berkualiti. Kabinet negeri in juga telah bersetuju untuk mempercepatkan pembinaan hotel dan telah meminta beberapa syarikat untuk membangunkan lebih banyak kemudahan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sekembalinya dari Beijing dengan menaiki penerbangan sulung dan secara terus Xiamen Airlines di sini, hari ini.
Seramai 163 penumpang menaiki pesawat berkenaan termasuk Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya.
Masidi turut menggesa agar penggiat industri pelancongan selain kerajaan negeri untuk lebih proaktif dalam memenuhi keperluan para pelancong.
Beliau juga menyuarakan rasa juga gembira dengan langkah Xiamen Airlines menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi antarabangsa pertamanya dari Beijing yang disifatkan beliau sebagai bukti hubungan baik antara Sabah dan China.
Sabah menerima kehadiran 430,000 pelancong China pada tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 14.7 peratus berbanding 2016, katanya.
Sementara itu, Konsul Besar China di Sabah, Liang Caide berkata Malaysia dan China menjalin hubungan diplomatik yang panjang dan semakin erat sejak beberapa tahun lepas.
Sehubungan itu, beliau melihat kehadiran syarikat penerbangan paling baharu China, Xiamen Airlines ke Kota Kinabalu dapat memacu kemajuan industri pelancongan serta meningkatkan kerjasama perdagangan antara kedua-dua bandar terbabit. – Bernama