Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    Sasar matlamat untuk berjaya pada tahun baharu

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pejam celik, pejam celik, tidak terasa sudah hampir seminggu kita menjejaki tahun baharu 2022 dan syukur dipanjatkan kepada Allah SWT atas segala nikmat kehidupan selama ini.

    Kenangan pahit dan manis perjalanan hidup sepanjang tahun 2021 pasti telah dilalui selagi kita bergelar hamba Allah dan segalanya menjadi pengajaran dan kekuatan untuk kita terus melangkah tanpa menoleh ke belakang.

    Lazimnya, kedatangan tahun baharu seolah-olah tidak lengkap tanpa soalan ‘Apakah azam tahun baharu awda’? Sehinggakan ia menjadi satu perbualan dan fenomena ibarat setiap orang harus atau wajib mempunyai azam setiap kali menyambutnya.

    Hal ini terjadi kerana begitulah lumrah kehidupan manusiawi meletakkan jangka masa tertentu untuk mencapai sesuatu yang dicita-citakan dalam kehidupan mereka.

    Pegang matlamat

    Umumnya, azam bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan untuk masa depan yang lebih terjamin, bahagia dan ceria. Untuk menggapainya, kita perlu menetapkan matlamat yang lebih jelas dan fokus dengan susunan perancangan strategi tertentu.

    Perlu diamalkan juga memberi ruang masa peribadi untuk mengecas semula tenaga agar produktiviti dan kreativiti tidak terbatas dengan aktiviti tidur sebentar, meditasi dan membaca buku-buka agama atau Al-Quran untuk kerohanian.
    Tulis matlamat yang ingin awda capai pada tahun baharu 2022 ini agar tidak tersasar dari tujuan asal.
    Tanpa kesihatan yang baik dan stabil, segala perancangan dan matlamat, yang telah dan sedang dibangunkan akan terganggu.

    Pelbagai azam sering didengar yang pastinya menunjukkan sudut perkembangan positif dalam meniti kehidupan, seperti ‘saya mahu meningkatkan tahap kewangan’, ‘saya mahu naik pangkat’, ‘saya mahu menjadi lebih baik’ dan sebagainya.

    Hakikatnya, jika kita menyelami warna-warni kehidupan yang dilewati oleh orang-orang yang telah berjaya, pastinya azam mereka bukanlah perkara yang biasa-biasa bahkan itulah pencetus semangat juang mereka sehingga berdiri teguh ke titik puncak kejayaan.

    Orang berjaya tidak memanggil azam baharu sebagai azam kerana mereka lebih menyukai ianya sebagai satu matlamat yang perlu dicapai dalam tahun tersebut. Matlamat yang ditetapkan akan dihuraikan dengan lebih spesifik dan memenuhi format ‘SMART’ iaitu S= specific, M= measurable, A= attainable, R= realistic dan T= timely.

    Berhenti fikir hal negatif

    Selain itu, apa yang perlu kita ketahui juga orang berjaya sememangnya tidak ambil berat mengenai perkara-perkara negatif atau tidak hirau apa yang orang disekelilingnya fikirkan. Hal ini kerana mereka tidak mahu perkara-perkara remeh-temeh berkenaan akan menghalang tindakan mereka untuk menjadi lebih maju. Maka mereka akan fokus kepada matlamat berbanding hal sebegitu.

    Masa umpama emas

    Bagi orang yang berjaya, masa adalah emas dan setiap detik itu berharga. Meski pun sibuk, menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga adalah penting dan ia merupakan simbol kejayaan yang sebenar.

    Oleh sebab itu, perkataan produktif sangat sinonim dengan orang berjaya di mana setiap waktu diletakkan had-had untuk aktiviti-aktiviti tertentu agar masa tidak terbazir begitu sahaja. Keluarga adalah penyokong dan sebagai kekuatan bagi seseorang yang mahu berjaya.

    Perlu diamalkan juga memberi ruang masa santai atau sering disebut sebagai me-time adalah masa peribadi bagi orang yang berjaya. Kebiasaannya waktu sebegini memberi peluang kepada orang berjaya untuk mengecas semula tenaga agar produktiviti dan kreativiti mereka tidak terbatas. Ruang masa rehat ini dipenuhi dengan aktiviti tidur sebentar, meditasi dan membaca buku-buka agama atau Al-Quran untuk kerohanian.

    Sesuatu perkara yang begitu penting juga ialah menjaga kesihatan dengan baik. Tanpa kesihatan yang baik dan stabil, segala perancangan dan matlamat yang telah dan sedang dibangunkan oleh orang berjaya akan terganggu.

    Maka, mereka akan fokus menjaga kesihatan secara keseluruhan termasuk kesihatan fizikal, mental dan tubuh badan. Pastinya persekitaran hidup yang terancang dan teratur sebegini adalah mustahak diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan produktiviti di tahap positif dan memberikan ketenangan dan kejelasan pada pemikiran orang berjaya.

    Kuasai ilmu atau kemahiran baharu

    Di samping itu, orang yang ingin berjaya pastinya memiliki semangat untuk belajar dan menguasai ilmu atau kemahiran baharu yang akan memberi nilai tambah dalam kehidupan mereka.

    Sebelum seseorang menjadi orang yang berjaya, dia hanyalah orang biasa yang mahu mencapai keluarbiasaan. Bagi memenuhi matlamat tersebut, orang sebegini akan mencari dan berkawan dengan orang yang telah berjaya.

    Bagi mereka yang telah berjaya pula, pembentukan perhubungan dengan mentor atau rakan kongsi yang bertanggungjawab akan membantu mereka bukan sekadar menjadi orang berjaya tetapi orang yang hebat.

    Persoalannya di sini, adakah azam orang yang berjaya sama seperti kita? Oleh itu tepuk dada, tanya selera. Bersama kita berjuang menjadi insan-insan yang lebih membangun
    meliputi aspek duniawi dan juga ukhrawi.

    Oleh yang demikian, tidak terlambat rasanya, penulis ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh masyarakat di Negara Brunei Darussalam di mana pun berada dan didoakan semoga segala matlamat yang disasarkan akan tercapai pada tahun baharu ini.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...