IPOH, 24 APRIL – Sasaran 31 pingat emas ditetapkan pada temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam adalah realistik dan berdasarkan kepada penelitian khusus yang dilakukan pelbagai pihak, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bagaimanapun, beliau ber-kata bilangan pingat emas itu mampu ditingkatkan dengan semangat jitu para atlet Malaysia.
“Sasaran ini bukan secara suka-suka, ia dibuat melibatkan penilaian pelbagai perkara termasuk pertimbangan terhadap prestasi atlet negara lain yang bertanding pada temasya kali ini.
“Walaupun saya sendiri ber-harap kita dapat rangkul lebih daripada sasaran pingat emas yang ditetapkan, namun ia bergantung sepenuhnya kepada usaha dan semangat atlet kita,” katanya kepada pemberita selepas program Singgah Sahur Bersama Media dan Belia negeri Perak di sini, hari ini.
Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli sebelum ini dilaporkan berkata sasaran 31 pingat emas dilihat sebagai satu langkah selamat dan sewajarnya ditingkatkan berdasarkan penyertaan 612 atlet negara pada temasya yang dijadualkan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei.
Justeru, Ahmad Faizal berharap para atlet Malaysia memberikan sepenuh penumpuan dalam meningkatkan prestasi bagi menghadapi temasya itu serta kejohanan lain yang lebih besar. – Bernama