Sasaran 35% tenaga mahir 2020 boleh dicapai

JOHOR BAHRU, 20 Julai – Sasaran untuk meningkatkan tenaga kerja mahir negara daripada 28 peratus pada 2015 kepada 35 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, tidak mustahil dicapai. Ini kerana berdasarkan peratusan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2016, tenaga kerja itu dilihat sudah berada pada kadar 31 peratus, sekaligus menjadi bukti bahawa sasaran tersebut mampu terlaksana, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

“Kita hanya perlu berusaha lebih lagi dalam tempoh tiga tahun ini. Selain itu, kita menjangkakan sebanyak 1.5 juta peluang pekerjaan baharu akan wujud menjelang 2020, yang 60 peratus atau kira-kira 900,000 daripadanya memerlukan tenaga mahir dalam bidang teknikal dan vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jabatan Tenaga Manusia (JTM)-Samsung Tech Academy di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pasir Gudang di sini hari ini. Pada majlis berkenaan, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara JTM, Kementerian Sumber Manusia dan Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn. Bhd bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkebolehpasaran tinggi.

Menurut Riot, kerjasama sebegini adalah penting dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).Setakat ini, terdapat 32 institut kemahiran berada di bawah JMT dan lapan daripadanya menawarkan sijil diploma dalam Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). “Untuk bersaing, kita memerlukan lebih ramai lagi tenaga kerja yang memiliki sijil kelulusan yang tinggi supaya mereka boleh pergi lebih jauh dan MoU ini merupakan tambah nilai kepada tenaga kerja tempatan untuk mendapat pendedahan teknologi terkini yang digunakan oleh syarikat-syarikat elektronik gergasi,” jelasnya. – Bernama

Datuk Seri Richard Riot Jaem menandatangani plak ketika melawat bilik akademi teknologi Samsung selepas merasmikan JTM-Samsung Tech Academy@Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILPPG) di ILP Pasir Gudang kelmarin. – Bernama
Datuk Seri Richard Riot Jaem menandatangani plak ketika melawat bilik akademi teknologi Samsung selepas merasmikan JTM-Samsung Tech Academy@Institut Latihan Perindustrian Pasir Gudang (ILPPG) di ILP Pasir Gudang kelmarin. – Bernama