IPOH, 10 JULAI – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyifatkan bukan satu tugas mudah bagi kontinjen Malaysia mengekalkan sasaran meraih tujuh pingat emas pada temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang dijadual berlangsung 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Beliau berkata, sasaran sekurang-kurangnya mengenggam lima atau enam pingat emas dianggap lebih realistik selepas penarikan diri jaguh badminton Malaysia, Lee Zii Jia serta kemalangan yang menimpa pemain skuasy, S.Sivasangari.
“Sebagai contoh, saya fikir kita boleh letakkan sasaran pingat emas kepada atlet terjun, Datuk Pandelela Rinong berdasarkan prestasi beliau di Kejohanan Dunia 2022 di Budapest, Hungary baru-baru ini.
“Ini merupakan pendapat saya secara peribadi, walau bagaimanapun, saya menyerahkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memikirkan semula sasaran pingat emas tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan 23 bekas atlet pada Majlis Makan Malam Sambutan Lagenda Balapan dan Padang Sukan Olahraga Negeri Perak di Kelab Diraja Ipoh, kelmarin.
Di Hungary, Pandelela memenangi dua pingat gangsa dalam 10m platform wanita dan 10m platform seirama, menewaskan penerjun dari negara Komanwel yang lain.
Ahmad Faizal menambah bahawa pihaknya berharap 102 atlet Malaysia yang bakal beraksi pada temasya sukan kedua terbesar di dunia tersebut mempamerkan aksi terbaik sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. – Bernama